Menyajikan Kupasan Berita Menafaat Untuk Anda Semua.

Selasa, 14 Februari 2017

5 Petua Menyimpan Duit Bagi Orang Yang Susah Menyimpan.


Pada masa kini, terutamanya orang muda apabila ditanya tentang simpanan, boleh dikatakan ramai anak muda yang tidak mempunyai simpanan. Mereka merasakan ia sesuatu yang susah dan mustahil untuk dilakukan.

Apatah lagi, pada masa kini, taraf hidup yang tinggi, membuatkan aktiviti menyimpan itu sangat susah dilakukan. Andai diperhatikan, sangat kurang kempen kesedaran tentang menyimpan diwar-warkan.


Umat Islam perlu menyimpan bagi menunaikan pelbagai tuntutan agama. [Alyssakai]

Ini boleh dilihat daripada papan-papan iklan di tepi lebuhraya, di banner berhampiran lampu trafik, dan iklan-iklan dalam pusat membeli-belah, media sosial. Kesemuanya menggalakkan kita untuk berbelanja.

Jarang sekali ada iklan mengingatkan untuk untuk menyimpan.

Hatta bank-bank, along-along dan pemiutang mengingatkan kita untuk membayar hutang. Mereka telefon dengan bertujuan untuk memberi peringatan agar kita membayar hutang mereka tepat pada masanya. Tidak pernah ada pihak bank, along atau pemiutang telefon dan mengingatkan kita,

“Encik Haris sudah simpan duit?”

“Cik Puan Irma sudah berapa banyak simpanan?”

“Muaz sudah ada simpanan berapa ratus ribu?”

3 Kepercayaan Karut Tentang Menabung
Lebih meruncing lagi apabila masyarakat kita berpegang dengan pelbagai kepercayaan karut tentang menabung.

Sedangkan Islam sendiri mengalakkan agar umatnya menyimpan untuk kegunaan kita pada hari muka yang memerlukan seperti pengajaran yang Allah gambarkan di dalam surah Yusuf,
Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). – Surah Yusuf 12:48

#1 – Tiada Duit Untuk Simpan

Hakikatnya tiap orang boleh menyimpan. Andai tidak mampu simpan dengan nilai yang besar, letakkan peratus paling kecil dan nilai paling rendah.

Kata-kata adalah antara salah satu bentuk doa. Justeru, tidak hairan mengapa kita tiada duit untuk simpan, kerana kita selalu cakap, ‘kita tiada duit untuk simpan’.

#2 – Simpan Untuk Kecemasan

Apa yang kita niatkan boleh menjadi doa yang paling kuat untuk dimakbulkan. Sesungguhnya kekuatan dalaman lebih kuat daripada kekuatan luaran. Oleh sebab itu penting menjaga niat.

Segarkan niat daripada ‘simpan untuk kecemasan’ kepada ‘simpan untuk meningkatkan kekayaan’. InsyaAllah itu yang akan berlaku apabila kita niatkan simpan untuk membina kekayaan.

#3 – Simpan Dengan Niat Hendak Digunakan Semula

Ia adalah suatu perkara yang biasa terjadi bagi mereka yang sudah mula menyimpan. Segalanya tertakluk kepada displin. Duit akan pergi kepada mereka yang bertanggungjawab.

Semakin kita tidak bertanggungjawab dengan duit kita, duit tidak akan suka dengan kita. Seperti kita ada anak perempuan yang mahu keluar pada pukul 2 pagi, pasti kita halang. Kita prihatin dengan anak kita. Begitu juga penting mempraktikkan ia dalam perihal kewangan.

5 Teknik Menyimpan Daripada Pakar Kewangan

Teknik ini adalah gabungan teknik menyimpan oleh individu yang terkenal dalam pengurusan kewangan seperti Shamsuddin Kadir, penulis buku Hidup Tenang Walaupun Berhutang, Arkad, orang terkaya di Babylon dan Abang Abu, pengasas Mekanik Wang.

#1 – Simpan Si Hijau

Tiap kali pulang ke rumah, apabila ada Si Hijau (RM5) dalam dompet, simpan ia ke dalam tabung. Dapatkan sebuah balang dan khaskan penyimpanan RM5.

#2 – Simpan Si Oren

Andai berkemampuan dan mampu menebaskan nafsu, tiap kali membawa pulang Si Oren (RM20), masukkan ke dalam balang yang dikhaskan untuk penyimpanan RM20.

#3 – Simpan Duit Syiling

Ini adalah taraf paling rendah bagi mereka yang dalam proses mampu menyimpan Si Hijau (rujuk tip 1). Masukkan semua duit syiling dalam dompet ke dalam balang khas untuk duit syiling.

#4 – Simpan 10% Duit Gaji

Bagi mereka yang bekerja makan gaji, kita sudah memerah keringat selama 30 hari. Perkara pertama yang patut dilakukan, apabila mendapat gaji adalah membayar diri sendiri pada nilai 10% daripada gaji.

“Bayar diri sendiri dahulu sebelum membayar orang lain.”

Arkad, orang terkaya di Babylon
90% Daripadanya, kita boleh habiskan jika mahu. Ada beza antara orang yang ada simpanan RM100 dengan RM10,000. Pemikiran, perasaan dan keyakinan kita akan berubah apabila kita ada simpanan RM10,000. Yang akan memudahkan kita menjadi magnet wang yang menarik lebih banyak wang.

#5 – Mulakan Menyimpan Setiap Hari (Walau 10 sen!)

“Aliran wang orang kaya – dapat duit, simpan dan baru belanja. Aliran wang orang miskin – dapat duit, belanja.”

Abang Abu, Mekanik Kewangan
Apabila kita tetapkan niat simpan setiap hari, secara tidak langsung kita sedang membuat satu aliran terhadap status kewangan kita. Ibarat kita sedang membuka empangan untuk mengalirkan air masuk. Mulakan dengan serendah 10 sen tiap hari.

“Semakin kita lakukan, semakin lancar empangan, semakin banyak air masuk.”
InsyaAllah lama kelamaan, duit akan mudah datang dan masuk dalam tabung. Jangan percaya. Praktikkan dan rasa sendiri. Minima 30 hari dan kongsikan dengan kami hasilnya.

KONGSIKAN TAZKIRAH INI
Share:

7 Peranan Kita Terhadap Golongan Mualaf.


Apabila menyebut tentang ‘Mualaf’, selepas Nabi Muhammad SAW diangkat sebagai Rasul, maka seluruh umat Islam yang mengikuti Baginda adalah mualaf, kecuali Saidina Ali Abi Talib yang memeluk Islam ketika masih di bawah umur.

Namun, sehingga kini, perihal Mualaf masih belum diterima secara meluas. Walau berkongsi agama dan seakidah kebanyakan masyarakat masih was-was dan belum terbuka sepenuhnya untuk menerima golongan ini.

Apakah sebenarnya peranan kita sebagai umat Islam untuk membantu saudara baru ini dalam menguatkan keislaman dan tali kepercayaan mereka kepada Allah SWT?

Berikut beberapa cara yang boleh diusahakan untuk membantu mereka:

1# Memberikan Zakat Kepada Golongan Mualaf

Setiap ahli masyarakat boleh mengambil tindakan anisiatif dalam membantu golongan mualaf dengan mengutamakan pemberian zakat harta benda dan zakat fitrah.

Selain itu, mereka juga boleh dibantu dengan pelbagai pertolongan kewangan lain untuk mengukuhkan ekonomi mereka. Ini kerana faktor kemiskinan kadang-kala menyebabkan ada dalam kalangan Mualaf berputus asa dan menyalahkan agama sebagai puncanya.

2# Bimbingan Pendidikan Dan Pengetahuan Tentang Islam

Terdapat ramai dalam golongan mualaf tidak mempunyai pengetahuan yang tinggi tentang agama Islam, terutamanya bagi golonagn Mualaf yang awal memeluk Islam.

Mereka sangat mengharapkan ada bimbingan kepada mereka agar lebih mudah untuk memahami dan menghayati agama Islam dalam kehidupan mereka.

Jadi,sebaiknya sediakanlah kelas atau kursus bimbingan Islam atau fardhu ain di surau atau masjid untuk golongan ini.

3# Perkahwinan Campur

Perkahwinan campur yang dimaksudkan adalah perkahwinan antara golongan Mualaf dengan penganut Islam yang asal. Ini bagi membawa seseorang Mualaf itu untuk lebih mudah dan cepat mendalami Islam malah dapat memastikannya tidak kembali lagi kepada agamanya yang asal.

4# Dekati, Sokong Dan Berikan Semangat

Jangan menjauhkan diri daripada golongan Mualaf ini, sebaliknya dekati mereka dan berhubung rapat dengan mereka. Dengan itu kita akan lebih memahami permasalahan yang mereka lalui dan mudah untuk membantu mereka.

Berilah sokongan dan dorongan untuk mereka terus kekal dengan Islam. Bahkan berterusan menyatakan kepada mereka akan kebenaran tentang Islam, dan yakinkan mereka bahawa mereka adalah insan terpilih yang diberi hidayah untuk memeluk Islam.
Dengan itu pasti mereka berasakan tidak tersisih dan sentiasa dialukan dalam agama ini.

5# Menyediakan Bantuan Keperluan Asas

Selain memberi bantuan dalam bentuk kewangan dan pinjaman modal untuk perniagaan, golongan ini juga boleh dibantu dengan memberi peluang pekerjaan, bantuan peralatan perniagaan, barangan dan alatan keperluan asas seperti pakaian, rumah atau tempat tinggal dan beberapa keperluan lain.

Ini kerana selepas memeluk Islam, banyak daripada Mualaf yang disisihkan oleh ahli keluarga dan ada kalanya mereka turut dipecat daripada pekerjaan mereka.

6# Menyediakan Badan Khas Untuk Rujukan

Hal ini sangat penting bagi golongan Mualaf yang ternyata tidak mengetahui banyak hal tentang Islam.

Badan rujukan ini sangat diperlukan untuk menjadi tempat rujukan mereka mengenai Islam selain sebagai tempat mengadu serta meminta pertolongan sementara mereka dapat berdikari sendiri.

7# Bawa Masyarakat Mendekati Mualaf

Adakan pelbagai program yang membantu mendekatkan golongan Mualaf dengan penganut asal Islam.
Hal ini bukan sahaja dapat mengeratkan semangat persaudaraan sesama Islam tetapi membuktikan kepada golongan itu bahawa mereka sangat dialukan dan sesekali tidak disisihkan, bahkan kita selalu bersedia menghulurkan apa-apa bantuan untuk mereka jika diperlukan.

Antaranya mengadakan majlis suai kenal setiap kali terdapat suadara baru yang baru memeluk Islam dan pelbagai lagi.

Sesungguhnya Mualaf adalah saudara seislam kita yang tidak dibezakan dengan apa-apa sekalipun, walau mereka adalah seorang dari bangsa berkulit hitam. Mereka juga layak mendapat semua keistimewaan yang penganut Islam lain peroleh.
Bahkan, bagi golongan Mualaf sendiri, usahlah gentar dengan sogokan negatif dari sekeliling terutamanya dari golongan bukan Islam. Yakinlah akan janji-janji Allah tentang kebenaran Islam dan menerima apa-apa jua ujian sebagai hadiah dan permulaan kepada penghujung yang manis.

KONGSIKAN TAZKIRAH INI
Share:

Ahad, 12 Februari 2017

Baca Dan Fahami Tentang Dosa Bagi Orang Yang Cepat Menghukum Orang Tanpa Usul Periksa.


Disebut dalam sebuah Hadis al-Qudsi, bahawa di dunia dahulu terdapat dua orang bersaudara dari kalangan Bani Israel. Salah seorangnya sangat baik manakala seorang lagi sangat jahat. Suatu hari yang baik menggelarkan yang jahat sebagai ahli neraka dan dosanya tidak mungkin akan diampunkan Allah. Lalu Allah mematikan kedua-duanya serta memanggil mereka menghadap-Nya. Akhirnya Allah memasukkan yang jahat ke dalam syurga manakala yang baik dicampakkan ke dalam neraka.

Berikut adalah nas sebenar hadis yang dinyatakan dalam kisah di atas:

كَانَ رَجُلَانِ فِي بَنِي إِسْرَائِيلَ مُتَوَاخِيَيْنِ فَكَانَ أَحَدُهُمَا يُذْنِبُ وَالْآخَرُ مُجْتَهِدٌ فِي الْعِبَادَةِ فَكَانَ لَا يَزَالُ الْمُجْتَهِدُ يَرَى الْآخَرَ عَلَى الذَّنْبِ فَيَقُولُ أَقْصِرْ فَوَجَدَهُ يَوْمًا عَلَى ذَنْبٍ فَقَالَ لَهُ أَقْصِرْ فَقَالَ خَلِّنِي وَرَبِّي أَبُعِثْتَ عَلَيَّ رَقِيبًا فَقَالَ وَاللَّهِ لَا يَغْفِرُ اللَّهُ لَكَ أَوْ لَا يُدْخِلُكَ اللَّهُ الْجَنَّةَ فَقَبَضَ أَرْوَاحَهُمَا فَاجْتَمَعَا عِنْدَ رَبِّ الْعَالَمِينَ فَقَالَ لِهَذَا الْمُجْتَهِدِ أَكُنْتَ بِي عَالِمًا أَوْ كُنْتَ عَلَى مَا فِي يَدِي قَادِرًا وَقَالَ لِلْمُذْنِبِ اذْهَبْ فَادْخُلْ الْجَنَّةَ بِرَحْمَتِي وَقَالَ لِلْآخَرِ اذْهَبُوا بِهِ إِلَى النَّارِ

“Pada zaman dahulu, terdapat dua orang lelaki dari kalangan Bani Israel yang bersaudara tetapi berbeza karakternya, salah seorangnya pelaku dosa dan seorang lagi rajin beribadah. Setiap kali ahli ibadah ini melihat saudaranya berbuat dosa, ia menyuruhnya untuk berhenti dari perbuatan dosanya.

Pada suatu hari ahli ibadah itu berkata lagi; Berhentilah dari berbuat dosa. Pelaku dosa itu menjawab; Biarkan aku, Allah telah menetapkan aku bahawa engkau diutus-Nya untuk mengawasi apa yang aku lakukan. Lantas ahli ibadah itu menempelaknya; Demi Allah, dosamu tidak akan diampuni-Nya atau kamu tidak mungkin dimasukkan Allah ke dalam syurga.

Kemudian Allah mencabut nyawa kedua-dua lelaki itu dan mengumpulkan keduanya di hadapan Allah Rabb al-‘Alamin. Allah berfirman kepada lelaki ahli ibadah itu; Apakah kamu lebih mengetahui daripada Aku? Adakah kamu dapat mengubah apa yang telah berada dalam kekuasaan tangan-Ku? Kemudian Allah berfirman kepada pelaku dosa itu pula; Masuklah kamu ke dalam syurga dengan rahmat-Ku. Sementara kepada ahli ibadah itu dikatakan; Masuklah orang ini ke neraka.” (Riwayat Abi Daud)

Ini menunjukkan bahawa semua perkara adalah bidang kuasa Allah Ta’ala. Kita sebagai hamba tidak boleh campur tangan dengan menentukan sama ada orang itu ahli syurga atau ahli neraka.

Senario orang kita hari ini mudah sangat menuding orang ini ahli neraka, orang ini jahat sampai mati, dosanya tidak terampun. Sedangkan nasib kita sendiri akan datang pun kita tidak tahu.

Dakwah adalah kewajiban setiap individu Muslim, tetapi menghakimi seseorang dengan menentukan takdirnya bukanlah urusan manusia. Boleh jadi di dunia dia jahat, tetapi di akhirat kelak Allah memasukkan dia ke dalam syurga-Nya.

#Beramallah dengan ikhlas dan ajaklah orang lain kpd kebaikan
#Jangan ada rasa hebat, riyak dan sombong dlm diri dan dlm amalan, kelak binasa
#Doalah kpdNya agar dikekalkan kita atas hidayah Islam dan agar org lain jg mdpt hidayah agar sama2 dpt ke syurgaNya

Sumber : 🐊Ust naim
Share:

Kelebihan Puasa 9 & 10 Muharram.


Hadith-hadith tentang puasa hari ‘Asyura (10 Muharram)
Ibn ‘Abbas meriwayatkan yang bermaksud: “Apabila Nabi SAW datang ke Madinah, Baginda melihat orang-orang Yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura, lalu Baginda bertanya: "Apakah ini?". Mereka menjawab: “Hari ini adalah hari yang baik di mana Allah telah menyelamatkan padanya Nabi Musa dan Bani Israil daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa”. Lalu Baginda SAW bersabda: "Aku lebih berhak dengan Musa daripada kamu," maka Baginda pun berpuasa dan menyuruh orang ramai supaya berpuasa”. (Riwayat al-Bukhari)

A’isyah r.a berkata (maksudnya): “Rasulullah SAW telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari A’syura, dan apabila telah difardhukan puasa Ramadhan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari A’syura) maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Daripada ‘Aisyah r.a berkata yang bermaksud: “Orang-orang Quraish di zaman jahiliyah berpuasa pada hari ‘Asyura, dan Rasulullah SAW juga berpuasa pada hari A’syura. Maka apabila Baginda datang ke Madinah, Baginda berpuasa pada hari itu dan menyuruh orang ramai berpuasa. Apabila difardhukan kewajipan puasa Ramadhan, ditinggalkan puasa pada hari ‘Asyura lalu Baginda bersabda: "Sesiapa yang mahu, maka dia boleh berpuasa, dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa, maka dia boleh tinggalkannya". (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Inilah beberapa contoh hadith sahih yang menyebut tentang puasa pada hari ‘Asyura. Daripada hadith-hadith ini dapat difahami bahawa puasa pada hari ‘Asyura merupakan suatu perkara yang wajib sebelum daripada difardhukan puasa Ramadhan. Apabila difardhukan puasa Ramadhan pada tahun ke-2 Hijrah, maka kewajipan ini telah gugur. Namun ianya tetap digalakkan dan merupakan salah satu daripada sunnah yang sangat dituntut. Inilah antara kesimpulan yang disebut oleh al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (wafat 852H) dan al-Imam Muslim (wafat 676H) ketika menghuraikan hadith-hadith tentang puasa ‘Asyura ini.
(Rujuk Fath al-Bari, Kitab al-Saum, Bab Siyam Yaum ‘Asyura, 4/309, dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Bab Saum Yaum ‘Asyura’ 4/245).

Fadhilat Puasa Hari ‘Asyura

Sesungguhnya kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW bagi sesiapa yang mengamalkan puasa sunat ini amatlah besar. Antaranya ialah apa yang diriwayatkan oleh Qatadah (maksudnya): “Bahawasanya Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari ‘Asyura, lalu Baginda SAW menjawab: "Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu". (Hadis sahih riwayat Imam al-Tirmizi).

Dalam riwayat yang lain pula disebutkan bagaimana Rasulullah SAW begitu mengambil berat dan memberi keutamaan kepada amalan puasa pada hari ‘Asyura ini. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Ibn Abbas bahawa beliau pernah ditanya tentang puasa pada hari ‘Asyura ini, lalu beliau berkata: “Aku tidak pernah ketahui bahawa Rasulullah SAW berpuasa sehari kerana mencari kelebihannya di atas hari-hari yang lain kecuali pada hari ini, dan Baginda tidak berpuasa sebulan kerana mencari kelebihan ke atas bulan-bulan yang lain kecuali bulan ini, iaitu: Ramadhan”. (Riwayat Imam Muslim)

Puasa Tasu’a (hari ke-9 Muharram)

Selain daripada berpuasa pada hari ‘Asyura ini, kita juga digalakkan untuk berpuasa pada hari sebelumnya iaitu hari ke-9 Muharram. Ini berdasarkan beberapa hadis sahih, antaranya ialah:
Daripada Ibn Abbas r.a berkata (maksudnya): “Ketika Rasulullah SAW berpuasa pada hari ‘Asyura, Baginda turut mengarahkan orang ramai supaya turut berpuasa. Lalu mereka berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya hari ini adalah hari yang dibesarkan oleh kaum Yahudi dan Nasrani. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: "Sekiranya di tahun depan, jika diizinkan Allah, kita akan berpuasa pada hari ke-9". Ibn Abbas berkata: Tidak sempat munculnya tahun hadapan, Rasulullah SAW wafat terlebih dahulu.” (Riwayat Imam Muslim)

Daripada Ibn Abbas r.a berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Sekiranya aku masih hidup hingga tahun hadapan, nescaya aku pasti akan berpuasa pada hari ke-9". (Riwayat Muslim).

Imam al-Nawawi (wafat 676H) dalam menghuraikan hadis-hadis ini telah menukilkan pendapat Imam al-Syafie dan ulamak di dalam mazhabnya, Imam Ahmad, Ishak dan yang lain-lain bahawa mereka semua ini berpendapat bahawa disunatkan berpuasa pada hari ke-9 dan hari ke-10, kerana Nabi SAW berpuasa pada hari ke-10 (‘Asyura) dan berniat untuk berpuasa pada hari ke-9 (tahun berikutnya). Imam al-Nawawi menyambung lagi: “Sebahagian ulamak berpendapat bahawa kemungkinan sebab digalakkan berpuasa pada hari ke-9 dengan hari ke-10 ialah supaya tidak menyamai dengan amalan kaum Yahudi yang hanya berpuasa pada hari ke-10”. (Rujuk: al-Minhaj syarh Sahih Muslim, Bab al-Siyam, ( Beirut : Dar al-Ma’rifah , cet.7, 2000), jil 4, hal. 254).

Justeru, marilah kita merebut peluang pada kesempatan bulan yang mulia ini untuk menambahkan amalan kita dengan berpuasa sunat. Renungilah saranan yang diberikan oleh Rasulullah SAW seperti mana yang diriwayatkan oleh Jundub bin Sufia

Justeru, marilah kita merebut peluang pada kesempatan bulan yang mulia ini untuk menambahkan amalan kita dengan berpuasa sunat. Renungilah saranan yang diberikan oleh Rasulullah SAW seperti mana yang diriwayatkan oleh Jundub bin Sufian bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): "Sesungguhnya solat yang paling utama selepas solat fardhu ialah solat pada waktu tengah malam dan puasa yang paling utama selepas puasa Ramadhan ialah puasa di bulan Allah yang kamu panggilnya Muharram".(Hadis riwayat Imam al-Nasa’ie dengan sanad yang sahih)

Sumber :
Share:

Jangan Mencaci Sesama Kita.


Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa satu ketika seorang lelaki sedang mencaci Abu Bakar r.a sedangkan Nabi s.a.w sedang duduk di hadapannya. Orang itu terus mencacinya sedangkan Abu Bakar r.a dan Nabi s.a.w terus bersabar mendengarnya. Lantas Nabi s.a.w tersenyum. Apabila orang itu mencacinya dengan keterlaluan, lantas Abu Bakar r.a menjawab akan caciannya. Mende...ngarkan akan jawaban itu, Nabi s.a.w begitu marah, bangun, lalu meninggalkannya.

Abu Bakar r.a menyusul Nabi s.a.w dibelakangnya dan berkata: Ya Rasulullah s.a.w, apabila orang itu terus mencaciku engkau masih tetap duduk dan apabila aku menjawabnya, tuan nampaknya marah dan bangun?

Nabi s.a.w menjawab: Semasa kamu diam dan bersabar mendengarnya, seorang malaikat bersama denganmu yang mana sedang menjawab caci maki orang itu bagi pihakmu, tetapi apabila kamu menjawabnya semula, malaikat itu meninggalkanmu, dan syaitan telah datang di antara kamu, dan aku tidak mahu duduk bersama dengan syaitan; oleh kerana itu aku meninggalkan kamu.

(Hadith Riwayat Ahmad)

===========

Siapa lah kita yang mahu mencaci ciptaan Allah? Sebanyak mana keburukan dan kesalahan mereka yang kita ketahui, Allah lebih mengetahui. Walaupun sebanyak buih di laut, keampunan dan kasih sayang Allah jauh lebih luas daripada itu.

Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa kita yang telah lalu dan marilah kita bertaubat dan bertekad tidak akan mencaci sesama kita lagi.

Sumber : 
Share:

Kata Mutiara Pengorbanan.


Seseorang itu dimuliakan bukanlah disebabkan oleh apa yang dimilikinya, tetapi kerana pengorbanannya untuk memberikan manfaat untuk orang lain.

Sesungguhnya pengorbanan itu bermaksud, usaha seorang hamba untuk mendekatkan diri kepada penciptanya melalui amal perbuatannya yang ikhlas.

Jujur adalah sebuah pengorbanan yang tidak hanya membuat diri kita terhormat di mata orang lain tetapi lebih utama lagi, terhormat di sisi Allah.

Pejuang sejati boleh dilihat dari seberapa banyak pengorbanan yang diberikan.

Orang yang tidak mahu berkorban adalah orang yang menunjukkan kehinaan dirinya.

Ciri orang yang beriman adalah senantiasa rela berkorban untuk kepentingan umat.

Kesungguhan, kegigihan, keikhlasan dan pengorbanan adalah pilar-pilar cinta sejati.

Tunjukkan rasa cinta kita dengan berkorban kerana tidak ada cinta tanpa pengorbanan.

Allah membenci orang yang bersifat kikir kerana kekikiran itu akan menimbulkan kezaliman dan kedengkian.

Semakin orang itu mencintai apa yang dimilikinya semakin sulitlah dia berkorban untuk orang lain.

Jadilah manusia yang senantiasa mahu berkorban untuk sesama kerana itu menunjukkan kemuliaan akhlak.

Allah sangat mencintai orang-orang yang selalu ingin membahagiakan orang lain dengan apa yang dimilikinya.

Semakin seseorang itu banyak berkorban untuk orang lain, semakin mulialah dia di sisi Allah dan manusia.

Allah mencintai orang yang berkorban dengan harta dan jiwa untuk menegakkan kebenaran.

Allah sangat mencintai orang-orang yang berkorban untuk mendapatkan keredhaanNya, kerana itu menunjukkan cinta sejati pada Allah.

Sumber :
Share:

Kita Dipandang Kerana Duit, Kita Dihina Kerana Duit.


Benar bukan, apabila kocek penuh ada manusia menghampiri kita?. Kegembiraan dikongsi bersama. Malah apa sahaja yang kita percakapkan pasti akan dianggukkan jarang sekali ada salahnya. Diri kita bagaikan lauk yang dihurung oleh orang kiri dan kanan.

Duit, wang, money (apa sahaja yang dipanggil nilaian wang) di zaman mutakhir ini menjadi satu keperluan yang amat dirisaukan di dalam diri kita. Hari ini barang itu naik harganya, tepung, gula, minyak. Lalu masing-masing akan memikirkan bagaimana cara untuk mendapatkan duit.

Bermacam caralah yang akan dibuat untuk memperolehi wang samada dengan cara yang halal atau haram. Ada yang menggunakan kaedah MLM,ada yang mengikuti pertandingan sms, ada juga yang mengadakan cara yang kononnya islamik dengan mengadakan konsep bersedekah (padahal ia sama sahaja dengan sikap malas berusaha). Lalu digunakan segala macam dalil dan hujjah untuk menghalalkan perbuatan tersebut.

Dijaja ustaz dan ustazah itu sudah menceburi kaedah ini, jangan sangsi! Perniagaan ini halal!. Rupa-rupanya yang menentukan halal dan haram adalah dengan keberadaan ustaz dan ustazah di dalam sesuatu perniagaan. Yang menentukan halal dan haram adalah dengan meletakkan ayat – tolong menolong antara sesama Islam, tentang kelebihan bersedekah.

Lihat sahaja di masjid dan surau yang diletakkan risalah-risalah seperti ini. Modalnya adalah beberapa ringgit. Diletakkan pelbagai testimoni orang ini sudah mendapatkan duit dalam sehari tanpa perlu bekerja, terima kasih! Orang itu sudah dapat menyelesaikan hutangnya, dan kini sudah ada kenderaan baru dan mewah, alhamduliLlah! – Orang yang tidak berfikir panjang akan mengatakan “kenapa tak boleh?, kita mesti cuba. Alahhh.. berapa ringgit sangatlah hendak dilabur, tak rugi!”. Akhirnya dalam tidak rugi katanya itu, yang mendapatkan duit atas angin tanpa usaha siapa? Akhirnya yang ditipu bulat-bulat siapa? Siapa panel syari’ahnya?

Aku memikirkan – perkara duit bukanlah perkara kecil anak, ia digunakan untuk membeli barangan, untuk membeli makanan. Dari situ secara tidak langsung ada hubungannya dengan manusia dan ALlah. Aku teringat hadith yang mafhumnya ‘daging yang tumbuh dari sumber yang haram layak untuk api neraka’. Biarlah aku berusaha bersungguh-sungguh dengan caraku. Tiada daya melainkan untuk mendapatkan rezeki yang halal itu memang payah, untuk mendapatkan yang barokah itu susah. Biar tidak senang agar tidak pula banyak yang hendak dijawab di hadapan ALlah.

Lihatlah orang yang kaya di Malaysia ini seperti Syed Mokthar Bukhary dan Mohammad Ali Hassan (Al Ikhsan Sport) – adakah dengan tiba-tiba mereka menjadi kaya tanpa usaha berpenat lelah?

Wahai sahabatku : Dari Abu AbduLLah al Nu’man bin Basyir r.anhuma katanya : Aku dengar RasuluLLah s.a.w bersabda : Sesungguhnya yang halal itu nyata (terang) dan yang haram itu pun nyata (terang) dan di antara keduanya ada perkara-perkara yang kesamaran, yang tidak diketahuinya oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala kesamaran, sesungguhnya ia memelihara agamanya dan kehormatannya. Dan barangsiapa jatuh ke dalam perkara kesamaran JATUHLAH IA KE DALAM YANG HARAM seperti seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, hampir sangat (ternaknya) di dalamnya.

Ketahuilah! Bahawa bagi tiap-tiap raja ada kawasan larangan, Ketahuilah! Bahawa larangan ALlah ialah segala yang haramnya. Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosaklah sekaliannya.

Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. – Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim
- Rujukan matan al arba’in li Imam Muhyiddin Abu Zakariyya Yahya bin Sharif al Nawawi (Imam An Nawawi)

Sumber :
Share:

Baca Dan Fahami : Celaan Merupakan Pembakar Semangat Buat Diri Kita.


KISAH YANG DISAMPAIKAN DALAM KULIAH MAGHRIB DI SURAU NURUL IMAN CEMPERAISARI SEBENTAR TADI (6/5/2012)

Diceritakan di dalam Kitab Lathaif al-Minan Wal Akhlak karya Imam Abdul Wahab asy-Sya'rani (seorang ulama' Mesir yg lahir pd 898H dan wafat pd 973H. Beliau sempat berjumpa dgn Imam ahli Hadis Mesir antaranya Jalaluddin as-Suyuthi&bljr dgn ulama' terkenal Syeikh Zakaria al-Anshari, Nashiruddin al-Laqani, Syihabuddin ar-Ramli dan ramai lagi) menukil daripada Imam Taqiyuddin as-Subki yang bercerita tentang kisah ABU ALI IBNU SINA, seorang tokoh falsafah Islam yg sangat pandai dan genius.

Suatu hari, ada seseorang mencela Ibnu Sina kerana beliau tidak haafaz al-Quran. Setelah mendengar celaan itu, Ibnu Sina pun menjadi sangat malu dan marah. Lalu beliau terdorong untuk menghafaz seluruh al-Quran, dan beliau melakukannya HANYA DALAM SATU MALAM! Padahal sebelum itu, beliau hanya menghafal surah al-Fatihah, al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas sahaja.

Kisah ini sangat mengagumkan, bahkan terlalu luar biasa sehingga sukar dipercayai. Allah yang lebih tahu kesahihan cerita ini.

#Teladan: Jadikan celaan sebagai pembakar semangat. Celaan memang pahit namun ia mengandungi ubat yang akan merubah hidup kita menjadi lebih sempurna. Syaratnya, kita mesti pandai merubah celaan itu menjadi pembakar semangat, seperti yang dilakukan tokoh2 yg berjiwa besar#

Sumber : 
Share:

Kata-kata Orang Soleh Memberi Nasihat...


Memang payah untuk membetulkan persepsi yang salah. Sebab ramai manusia hanya menggunakan citarasa diri sendiri sebagai neraca. Bukan Kalam suci dan panduan insan terpuji.Oleh kerana sudah terdidik sejak kecil dengan kepalsuan maka yang benar dan bathil tidak dapat dibezakan. Maka yang baik itu disangka buruk dan yang buruk disangka membawa kebahagiaan hidupnya.

Oleh itu kata-kata orang-orang soleh mengenai kehidupan dunia ini adalah pengikat nafsu berkesan dan penyembuh citarasa yang sudah rosak.

Ada sepotong kek terbiar di salah satu sudut rumah. Di kejauhan dari tempat itu ada 2 ekor anak tikus sedang berbalah : 

Tikus putih : awak nampak tidak kek itu? 

Tikus Kelabu : ya saya nampak. Tapi warnanya tidak cantik. 

Tikus putih : Tapi kan baunya enak sekali. Pedulikan warnanya. Rasanya pasti lazat. 

Tikus Kelabu : hmm kalau sudah pudar warna pasti rasanya pun sudah masam. 

Tikus putih : Aku yakin masih sedap lagi. Kalau tidak pasti tuan rumah sudah buang ke bakul sampah. 

Tikus Kelabu : mungkin juga kan… 

Si ayah tikus yang dari tadi mendengar perbualan anak-anaknya mencelah : 

Ayah tikus : Apa yang kamu riuhkan wahai anak-anakku? 

Tikus putih : kek sana tu ayah. 

Ayah tikus : Cuba kamu pandang betul-betul apa kamu nampak. 

Tikus Kelabu : tak ada-apa yang aneh. Hanya sepotong kek. 

Ayah tikus : tengok dengan pandangan cermat. 

Tikus putih : Kek lah ayah.. apa yang peliknya. 

Ayah tikus : kamu hanya fikirkan nak makan kek saja. Sedangkan sebelah kek itu ada perangkap. Wahai anak-anakku.. kalau kamu mahu selamat mintalah nasihat dari yang berpandangan jauh dan tiada kepentingan diri. Jika kamu salah penilaian kamu akan binasa kelak

Sumber : -ust fuad osman-
Share:

Kisah Teladan : Mengenai Restu Ibu Imam Syafie.

Sejak kecil, Imam Syafie telah hafal al-Quran dan banyak hadis. Jika mendengar ada guru datang mengajar, dia segera pergi bagi menimba ilmu. Ketika berusia 14 tahun, Imam Syafie menyatakan hasrat kepada ibunya tentang keinginannya untuk merantau bagi menambahkan ilmu.

Pada mulanya, ibunya merasa berat untuk melepaskan kerana Syafie adalah satu-satunya harapan ibunya untuk menjaganya di hari tua. Demi ketaatan dan kasih sayang Syafi'e kepada ibunya, dia membatalkan keinginannya itu. Akhirnya ibunya mengizinkan Syafi’e merantau bagi menambah ilmu pengetahuan. 

Sebelumnya melepaskan anaknya, maka ibunya berdoa, “Ya Allah Tuhan yang menguasai seluruh Alam! Anakku ini akan meninggalkan aku untuk berjalan jauh, menuju keredhaanMu. Aku rela melepaskannya untuk menuntut pengetahuan peninggalan PesuruhMu. Oleh kerana itu aku bermohon kepadaMu, ya Allah agar dipermudahkan urusannya. Peliharakanlah keselamatannya, panjangkanlah umurnya agar aku dapat melihat kepulangannya nanti dengan dada yang penuh dengan ilmu yang berguna. Amin!”
Selesainya berdoa ibunya memeluk Syafie yang kecil dengan penuh kasih sayang dan dengan linangan air mata kerana sedih untuk berpisah. 

“Pergilah anakku. Allah bersamamu! Insya-Allah engkau akan menjadi bintang ilmu yang paling gemerlapan dikemudian hari. Pergilah sekarang kerana ibu telah redha melepaskanmu. Ingatlah bahwa Allah itulah sebaik-baik tempat untuk memohon perlindungan.”

Selepas ibunya berdoakan, Syafi'e mencium tangan ibunya dan mengucapkan selamat tinggal. Dia meninggalkan ibu yang sangat dikasihinya dengan hati yang pilu dan mengharapkan ibu sentiasa mendoakan kesejahteraannya dalam menuntut ilmu. Juga di doakan dengan doa perlindungan daripada Surah Yusuf ayat 64:

Oleh kerana kehidupannya yang sangat miskin, maka Syafi'e berangkat dengan tidak membawa bekalan wang, kecuali dengan berbekalkan doa ibunya dan cita-cita yang teguh untuk menambah ilmu sambil bertawakkal kepada Allah. 

Ketika mengingati kisah ini, Imam Syafie berkata, “Sesekali aku menoleh kebelakang untuk melambaikan tangan kepada ibuku. Dia masih berada perkarangan rumah sambil memperhatikan aku. Lama-kelamaan wajah ibu menjadi samar ditelan kabus pagi. Aku meninggalkan kota Makkah yang penuh barakah tanpa membawa sedikit pun bekalan wang. Apa yang menjadi bekalan bagi diriku hanyalah Iman yang teguh dan hati yang penuh tawakkal kepada Allah serta doa restu ibuku sahaja. Aku serahkan diriku kepada Allah seru sekalian Alam.”

Sumber :
Share:

Follow Us OnFacebook

Arkib Blog

Jumlah Paparan Halaman

Dikuasakan oleh Blogger.

Arkib Blog