Seseorang
hamba Allah SWT itu masih boleh terus melangkah dalam keadaan getir
kerana didokong oleh harapan. Maka kerana itulah kita digalakkan berdoa
dan memohon kepada Allah SWT supaya diberikan kebaikan dunia dan
akhirat.
Menjadi lumrah bagi seseorang itu bersandarkan harapan
yang diberikan oleh Allah SWT sebagai motivasi meneruskan kehidupan,
namun ada dalam kalangan kita yang tertipu dengan menaruh harapan
melalui bisikan syaitan.
Program Pesona D’Zahra minggu lalu
bersama Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin menyambung perbincangan mengenai
Manusia dan Harapan. Mengikut sejarah, manusia pertama disogokkan
dengan harapan yang dibisikkan syaitan adalah Nabi Adam.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan
dia (syaitan) bersumpah kepada keduanya. Sesungguhnya saya adalah
termasuk orang yang memberi nasihat kepada kamu berdua.” (Surah
al-A’raf, ayat 21)
Tiga jalan lupakan manusia kejar akhirat
Kita
perlu selalu sedar syaitan musuh yang sentiasa berusaha dengan
muslihatnya menyesatkan dan memesongkan kita daripada jalan Allah SWT.
Ustaz Muhamad berkongsi tiga jalan sering digunakan syaitan dalam usaha
menawan hati manusia supaya berharap kepada dunia dan melupakan
pencarian akhirat.
Tiga jalan itu ialah mencari puas hati, ketenangan
dengan jalan maksiat dan kaya dengan jalan bakhil. Raja Namrud contoh
yang dapat kita lihat sebagai manusia dibisikkan untuk tidak merasa puas
hati. Namrud dikuasai perasaan tidak puas hati yang meluap terhadap
Nabi Ibrahim.
Dinyalakannya api yang luar biasa marak dengan tujuan
mendera dan menzalimi Nabi Ibrahim sekeras-kerasnya bagi usaha mencari
puas hati.
Dalam konteks hari ini, apabila rumah tangga dilanda
badai, kekerasan dan helah digunakan bagi menyakiti pasangan bagi
mendapatkan perasaan puas hati. Sedangkan semua tidak pernah berjaya
memberikan ketenangan hakiki bagi mereka yang menurut bisikan syaitan.
Andai
ketika bermuhasabah diri kita mengesan adanya sifat mazmumah,
kembalilah kepada fitrah kemanusiaan iaitu mencari ubat hati. Lazimnya
mereka yang menurut hawa nafsu dalam perbuatan akan hanya menyebabkan
lebih banyak kekecewaan dalam kehidupan.
Islam mendidik umatnya
bersabar dan Allah SWT menjanjikan darjat yang tinggi kepada orang yang
sabar serta bersedia memaafkan orang yang berbuat kesalahan terhadap
dirinya. Itulah yang dikatakan sebagai ubat hati.
Orang hatinya
jauh daripada mengingati kekuasaan Allah SWT, tidak berpegang dengan
panduan hidup yang dibekalkan kepadanya menerusi al-Quran dan jauh
daripada mengamalkan panduan ditinggalkan Rasulullah SAW melalui
hadisnya.
Hati kosong mudah dipengaruhi syaitan
Ini mengakibatkan
hati menjadi kosong dan sunyi, yang hanya memudahkan ia dipengaruhi oleh
bisikan syaitan. Fikiran dipandu suara negatif akhirnya menyebabkan
perbuatan yang tidak sesuai dengan syariat Islam.
Kesunyian dan
kekosongan menyebabkan seseorang itu akan mencari-cari keseronokan atau
hiburan dengan harapan untuk mengisi kehampaan akibat kesunyiannya.
Tidak sedikit mereka yang mempunyai kedudukan atau pangkat tinggi,
kelihatan zahir mempunyai kesempurnaan tetapi mencari ketenangan dengan
jalan maksiat.
Mereka tercari-cari jalan untuk mengubat hati yang
kosong dan tidak tenang. Ada yang mengambil dadah, minum arak,
melanggan teman sosial, namun masih tidak membawa kepada ketenangan
untuk mengisi hati yang kosong.
Orang dipengaruhi harapan
daripada syaitan yang menjanjikan kekayaan itu datang dengan memiliki
sifat bakhil dan kedekut. Mereka mempercayai sikap kedekut dan bakhil
itulah yang menyebabkan mereka dapat mengumpulkan harta
sebanyak-banyaknya.
Rasulullah SAW bersabda: “Harta tidak akan
berkurangan dengan sebab sedekah. Dan Allah tidak menambah kepada
seseorang hamba dengan sebab kemaafan yang diberikan (kepada orang lain)
melainkan kemuliaan kepadanya dan tiada merendah diri seseorang itu
melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.” (Riwayat Muslim)
Amalan
memberi sedekah kepada yang memerlukan amat digalakkan dalam Islam.
Perlu kita fahami, rezeki yang dikurniakan kepada seseorang itu adalah
milik Allah SWT dan hanya pinjaman kepada hamba-Nya semata-mata.
Seseorang
Muslim seharusnya tidak terlalu sayang kepada harta benda dan tidak
terikat untuk membelanjakannya kepada perkara kebaikan. Kita perlu
fahami setiap pemberian yang dikeluarkan untuk jalan kebaikan akan
diganti oleh Allah Taala.
Sedekah juga tidak mengurangkan harta
kerana Allah SWT sentiasa menambah keberkatan dan suburnya harta, atau
ganjaran dijanjikan Allah di akhirat nanti akan menggantikan harta yang
disedekahkan dengan berlipat ganda.
Syaitan telah berjanji untuk
menyesatkan manusia akan memperdaya hati serta fikiran seseorang supaya
merasa berat mengeluarkan harta atau wang ringgitnya ke jalan sedekah
dan infak. Mereka yang dipengaruhi bisikan ini akan diperhambakan dan
disibukkan urusannya dengan mencari wang dan harta.
Walaupun
mencari harta dan kekayaan digalakkan dalam Islam, tetapi ia perlu
berlandaskan kepada usaha, ikhtiar dan seterusnya reda serta tawakal
kepada Allah SWT atas pemberian-Nya. Harta dan rezeki seharusnya
melapangkan dada dan bertujuan memberi khidmat kepada empunya harta itu.
Ia
juga sebagai jalan kita memperoleh ganjaran pahala daripada Allah SWT
dengan mengembalikan sebahagiannya ke jalan yang diredai-Nya. Usaha
mencari rezeki adalah satu kewajipan manusia tetapi yang mengurniakan
kekayaan itu adalah semata-mata urusan Allah SWT.
Waspada permainan syaitan
Berwaspadalah
dengan mengelakkan diri daripada dipermainkan syaitan yang mahukan
manusia itu melupakan akhirat melalui jalan mencintai dunia. Allah SWT
memerintahkan kita bukan mencari harta semata-mata tetapi juga mencari
keberkatan.
Ustaz Muhamad memberikan tiga panduan dalam menilai
keberkatan harta iaitu harta itu membawa kepada kebaikan, semakin
berharta semakin tenang hatinya, harta itu mencukupkannya dan banyaknya
menggembirakan seseorang.
Jika harta itu sering memberi
kerunsingan hati dan selalu merasa tidak cukup, periksalah semula akan
jalan masuknya harta itu dan bagaimana kita membelanjakannya.
Berhati-hatilah dengan harapan yang kita pertaruhkan dalam hidup ini
sama ada berlandaskan iman atau bisikan syaitan.
Sumber :
0 ulasan:
Catat Ulasan